Assalamualaikum sahabat,
Hari ini hampir nak masuk minggu ke-3 pemergian Bonda tercinta menemui penciptanya. Dan dengan itu juga aku kini sahlah bergelar sebagai anak yatim piatu setelah Ayahanda tersayang juga pergi menghadap Ilahi 9 tahun lalu. Sungguh sedih hati ini bila mana Bonda pergi tanpa berkata walau sepatah pun kepada ku. Masih aku teringat (23/5/14) waktu nafas terakhir Bonda, akulah anaknya yang satu2nya berada disisinya, mengajarnya mengucapkan kalimah syahadah. Sepanjang malam menamankan Bonda di wad ICU kerana Bonda kelihatan begitu nazak dengan wayar berselirat diseluruh badannya. Luluhnya hati aku ketika itu. Tak sanggup melihat keadaan Bonda begitu. Aku yang merasa tersiksa. Aku yang merasa kesakitan itu walaupun Bonda sudah tidak sedarkan diri. Doktor bagitahu aku yang buah pinggangnya sudah rosak teruk, asid dalam badan sangat tinggi, dia boleh pergi bila2 masa saja. Hati aku waktu itu sangat perit, ingin aku meraung menyuruh Bonda bangun dan tersenyum pada ku seperti yang dia buat pada ku selalu bila aku pulang menziarahinya.
Semalaman aku di hospital menemani Bonda dengan harapan jika benar waktunya malaikat Izrail ingin menjemput Bonda benarkanlah barang seketika dibangkitkan Bonda ku dari tidur yang lena, ingin sangat aku bercakap, meminta ampun dan maaf, mendengar suaranya dan mendengar dia sedia memaafkan aku sedari kecil hingga aku dewasa. Tepat pukul 2 pagi, aku tidak dibenarkan masuk menemani Bonda ku lagi, terpaksa aku menunggu di ruang yang disediakan pihak hospital. Sungguh galau hati ini. Yang menemani aku ketika itu hanyalah dua orang makcik ku yaitu adik2 kepada Bonda ku.
Tepat pukul 7 pagi (24/5/14), jururawat memanggil ku, sekali lagi dia memberitahu situasi Bonda ku, bukan perkabaran gembira yang aku terima seperti dalam drama2 melayu yang aku tonton, doktor beritahu yang keadaan Bonda sangat kritikal, denyutan jantungnya semakin berkurangan, doktor sarankan aku membisikan kalimah shahadah dan membacakan yasin disisinya. Air mata jatuh dengan deras, kecewa hati ini bila tidak dapat melihat Bonda tersenyum dan bercerita pada aku lagi. Dari sisi katil aku membisikkan kalimah Agung ke telinganya, sehinggalah aku bergerak dekat diatas kepalanya kerana aku takut Bonda tidak dengar suaraku yang putus2 menahan air mata. Masih aku tercium bau harum rambutnya, hingga terdetik dihati "mungkin sebelum Bonda jatuh pengsan, Bonda sudah cuci rambut dia, rambut yang aku paksa potong pendek itu". "begitu sayang Bonda dengan rambut dia yang panjang hingga ke punggung itu dan aku paksa dia potong untuk mudahkan diri dia jika terpaksa bermalam di hospital nanti". Sepanjang waktu itu mulut aku tidak putus2 mengucapkan syahadah ditelinga Bonda ku.
Dan pada waktu yang telah dijanjikan dengan Ilahi, pada pukul 8:14 pagi, Bonda menghembuskan nafas terakhirnya di sisi aku, masih aku terasa ditangan ku hangatnya air mata Bonda waktu itu. Air mata terakhirnya. Aku sangat berharap waktu itu, apa yang aku lalui hari itu adalah mimpi semata2. Segeralah aku bangun dari mimpi ini. Tapi rupanya ianya adalah rialiti yang terpaksa aku lalui. Aku seorang yang ada disisinya sedangkan Bonda ada lagi 3 orang anak yang lain. Aku tak kisah kemana mereka, aku hanya kisahkan Bonda aku. Tolonglah Bonda, kembali kepada anakanda. Aku tersedar bila doktor minta aku ketepi kerana dia nak periksa nadi Bonda aku. Waktu itu baru aku tahu yang aku bukan bermimpi ketika ini. Bila doktor beritahu waktu kematian Bonda, fikiran aku juga pergi mengikut roh yang malaikat Izrail ambil tadi. Lemah seluruh tubuh aku ini. Kosong fikiran aku. Kenapa Bonda pergi meninggalkan anakanda cepat begini? Belum sempat anakanda membalas jasa Bonda. Lagipun Bonda kan telah berjanji dengan anakanda yang Bonda akan tunggu hingga rumah anakanda siap dan Bonda akan duduk dengan anakanda? Kenapa Bonda memungkirinya?
"Bonda, anakanda sangat menyayangi Bonda, sekejap sangat Bonda bersama anakanda, anakanda hanya dapat merasa kasih sayang Bonda selama 26 tahun saja Bonda. Kenapa Bonda pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada anakanda? Kenapa Bonda taknak tunggu anakanda? Bonda, anakanda tak sempat nak bagi buah tamar yang Bonda minta anakanda belikan 2 minggu sebelum itu. Anakanda tak sempat nak bawa Bonda berjalan di tempat sejuk seperti yang Bonda inginkan. Anakanda belum sempat nak beri Bonda cucu lelaki. Kenapa Bonda tinggalkan anakanda? Sekarang hidup anakanda kosong Bonda. Anakanda sudah tidak ada tempat mengadu nasib, bergurau senda, menangis bersama lagi Bonda. Anakanda sunyi Bonda. Anakanda selalu teringatkan Bonda. Aidilfitri yang akan datang ini, anakanda tidak tahu nak beraya macam mana walaupun anakanda masih punyai mertua. Mungkin juga masa itu, anakanda akan tersangat merindui rendang ayam dan kari daging air tangan Bonda. Anakanda akan terbayang kita sama2 mengayam ketupat, sambil mulut Bonda pot pet pot pet menyuruh anakanda tukar langsir. Anakanda akan merindui semua itu Bonda. Mungkin sampai mati anakanda akan merindui waktu itu. Merindui Bonda."
Sekarang bila Bonda sudah tiada, rutin anakanda hanya dapat sedekahkan Al-Fatihah pada Bonda, Ayahanda dan Kekanda. Tiap malam sebelum mata ini tertutup, anakanda akan berkata2 sendiri, "Ayahanda, Kekanda, sudahkah Ayahanda dan Kekanda menemui Bonda disana? Berjanjilah pada anakanda yang Ayahanda dan Kekanda akan menjaga Bonda disana, tolong jangan biarkan Bonda disiksa disana. Anakanda akan selalu mendoakan untuk kalian disana". " Bonda, Ayahanda dan Kekanda, maafkan diri ini dari kecil hingga diri ini sudah mampu berdikari. Bonda, maafkan anakanda dunia dan akhirat, halalkan susu, makan, minum dan perbuatan anakanda pada Bonda selama hayatmu masih ada. Jasa dan pengorbananmu tidak akan anakanda lupakan hingga diri ini menemuimu disana nanti. Terima kasih Bonda, terima kasih Ayahanda".
Menyintaimu hingga kepintu Syurga,
ANAKANDA, INTAN
No comments:
Post a Comment